Muktamar Tahunan Pas ke-66 melakar sejarah buat parti Islam itu apabila ia diadakan genap setahun usia Muafakat Nasional (MN) yang dimeterai pada 14 September tahun lalu.

Selain diadakan dalam norma baharu, perhimpunan tahunan itu juga menyaksikan Pas kembali dalam pentadbiran kerajaan selepas kali terakhir berada dalam kerajaan Persekutuan pada tahun 1977.

Parti pimpinan Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu dijangka menggunakan platform tersebut sebaik-baiknya memandangkan muktamar ini mungkin yang terakhir sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan.

Kini parti itu tidak lagi bergelar pembangkang, namun sejauh mana muktamar yang diadakan di Pengkalan Chepa, Kelantan itu akan memberi impak kepada Pas selaku parti kerajaan?

Astro AWANI mendapatkaan pandangan dua pakar dan pemerhati politik bagi mengupas agenda perjalanan Pas selepas berada dalam komponen kerajaan, dan bagaimana parti yang sudah berusia 69 tahun itu mahu mencorakkan perjalanan politik mereka pada masa akan datang.

Penganalisis politik, Dr Kamarul Zaman Yusoff (kiri) berpandangan Muktamar Tahunan Pas ke-66 merupakan medan penting buat parti Islam itu

Penganalisis politik, Dr Kamarul Zaman Yusoff berpandangan muktamar kali ini menjadi medan penting buat Pas termasuk dari segi kepimpinan; perjuangan idealisme politik Islam; serta kerjasama politik yang dijalinkan oleh parti itu dengan parti-parti lain termasuk UMNO.

Jelas Pensyarah Kanan Kolej Undang-Undang, Pengajian Kerajaan dan Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM) itu lagi, perwakilan juga mahu melihat keupayaan dan prestasi pemimpin Pas sepanjang menganggotai barisan jemaah menteri dan memegang jawatan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

“Jadi, itu menjadi sebahagian daripada perkara yang akan dilihat dan sudah tentu kita akan mendengar kritikan membina daripada perwakilan mengenai perkara-perkara yang perlu diperkemaskan dan dilengkapkan.

“Ia sekali gus menyaksikan kedudukan mereka memegang jawatan dalam GLC dan agensi-agensi kerajaan itu dapat menonjolkan imej Islam, selain ia dapat dilaksanakan dengan lebih baik dan teratur,” katanya kepada Astro AWANI, baru-baru ini.


Perjuangan Pas sebelum bergelar kerajaan

Di peringkat nasional, Pas sebelum ini begitu lantang terhadap isu seperti Pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355.

Namun, suara parti Islam itu dilihat semakin dingin selepas berada dalam tampuk pimpinan kerajaan.

Mengulas mengenai perkara itu, Kamarul Zaman berkata, Pas berdepan cabaran besar untuk dalam ‘merealisasikan’ RUU 355 yang diperjuangkan mereka selama ini.

Bagaimanapun, beliau berkata, rangka masa perlu ditetapkan oleh pemimpin Pas untuk membawa pindaan Akta 355 ke Parlimen agar ia boleh diluluskan.

“Saya tidak dapat menafikan bahawa isu RUU 355 merupakan satu isu yang sensitif dan penting. Kita berharap semoga ada perwakilan yang akan menimbulkan perkara ini di dalam muktamar akan datang.

“Kita harap juga dapat mendengar apakah respond kepimpinan (Pas) berkaitan dengan RUU itu.

“Memang kita tidak dapat nafikan bahawa Pas telah berjanji untuk memperjuangkan dan menambah baik sistem pentadbiran serta pengurusan agama di dalam negara,” tambah beliau.


Hubungan Pas-UMNO dan Perikatan Nasional (PN)

Bagi Pensyarah Kanan Pusat Perdana Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Mazlan Ali, pula muktamar yang dijadualkan berlangsung bermula 12 September itu juga akan memperlihatkan sama ada wujud sokomngan di peringkat akar umbi terhadap kerjasama politik yang dijalinkan oleh Pas setakat ini.

“Selain itu saya juga melihat ada kemungkinan Pas dalam muktamar ini akan fokus kepada kedudukan Pas dalam mengukuhkan hubungan dengan parti-parti politik yang ada.

“Misalnya mengukuhkan hubungan dengan Bersatu yang sudah pun menyertai Muafakat Nasional dan Pas mungkin akan cuba menyelesaikan perbezaan pandangan antara partinya dengan UMNO dalam isu kemasukan Bersatu dalam Muafakat Nasional,” katanya.

Prestasi pemimpin Pas terbelakang

Mengulas lanjut, Mazlan berkata, prestasi Pas dalam kabinet kerajaan setakat ini turut dilihat terbelakang berbanding jemaah menteri daripada parti-parti lain.

Justeru beliau berkata, pemimpin Pas harus meningkatkan kebolehan mereka terutamanya dalam membuat polisi di peringkat persekutuan, selain menangani isu dengan profesional.


“Yang paling menonjol sekarang saya lihat UMNO, misalnya Menteri Pertahanan (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) yang memegang peranan penting dalam isu keselamatan negara dalam menghadapi COVID-19.

“Mungkin mereka (pemimpin Pas) boleh melihat bagaimana individu-indivdu yang berpengalaman dalam UMNO, dan Bersatu untuk menguruskan kementerian masing-masing,” katanya.

Bagaimanapun katanya, Pas memberi kerjasama yang baik selepas kembali menyertai Kabinet dengan mendokong kuat kerajaan Perikatan Nasional yang dipimpin oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Saya fikir dalam situasi sekarang yang penting Pas sekarang ini sedang membantu kerajaan dan nampaknya Pas menghulurkan tangan kepada Perdana Menteri dan Pas memainkan peranan yang penting untuk menjadikan Bersatu itu sebagai sebuah parti yang diterima dalam Muafakat Nasional.

“Pas juga memberi jalan kepada Bersatu untuk sama-sama bekerjasama dalam menghadapai PRU-15 akan datang.

“Jadi saya lihat tidak ada unsur-unsur Pas untuk mendesak supaya diadakan pilihan raya tetapi Pas selesa dengan kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin,” katanya.


Muktamar Dewan Muslimat Pas, Pemuda dan Ulama akan diadakan secara serentak pada 12 September sebelum kemuncak persidangan tahunan parti itu akan berlangsung di Pusat Tarbiyah Islamiyah Kelantan (PUTIK), Pengkalan Chepa pada 13 September.

Selari dengan norma baharu, muktamar kali ini akan turut disiarkan menerusi laman sosial memandangkan hanya 300 perwakilan sahaja dibenarkan hadir pada muktamar berkenaan.

Astro AWANI akan bawakan perkembangan terkini mengenai Muktamar Tahunan Pas ke-66 menerusi semua saluran digital dan platform AstroAWANI.com.